Wednesday, 15, October, 2025
Utama Nasional Tindakan kibar bendera Israel satu pengkhianatan –  PM

Tindakan kibar bendera Israel satu pengkhianatan –  PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan mengibar bendera Israel atau menampal pelekat bertulisan Hebrew yang menyinggung sensitiviti rakyat sebagai satu bentuk pengkhianatan dan bercanggah dengan dasar negara.

Beliau menegaskan, perbuatan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia menyentuh perasaan rakyat Malaysia serta bertentangan dengan pendirian negara terhadap kekejaman rejim Zionis.

“Ini menyinggung perasaan khalayak dan bertentangan dengan dasar negara keseluruhannya. Dasar ini merentasi parti, termasuk soal bendera. Walau apa pun matlamatnya, ia tetap salah.

“Mana ada negara di dunia yang ketika dijajah, rakyatnya mengibar Union Jack, bendera penjajah. Ia akan dianggap sebagai pengkhianatan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Anwar bersetuju dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil langkah tegas terhadap individu terbabit bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) berhubung pendirian kerajaan terhadap acara yang mempamerkan bendera Israel di negara ini.

Sebelum ini, polis telah membuka kertas siasatan berhubung pengibaran bendera Israel ketika “Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Selain itu, PDRM turut menyiasat kes sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menampal pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud “Malaysia adalah Rumah Kita” atau “Malaysia di Tangan Kami”.

Anwar menegaskan, tindakan seperti itu bukan sahaja mencabar pendirian Malaysia terhadap isu Palestin, malah menghina perjuangan kemanusiaan yang menjadi asas kepada dasar luar negara ini.

“Malaysia kekal tegas menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Israel sehingga hak rakyat Palestin dipulihkan sepenuhnya. Tindakan sebegini harus dianggap serius kerana ia bukan soal politik, tetapi soal maruah dan prinsip negara,” tegasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com