Wednesday, 8, May, 2024
Utama Nasional Agong, Raja-Raja sokong kerajaan pertingkat tatakelola, bersihkan negara daripada rasuah

Agong, Raja-Raja sokong kerajaan pertingkat tatakelola, bersihkan negara daripada rasuah

oleh Ammar Haziq

REMBAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja-Raja sealiran menyokong langkah kerajaan mempertingkat tatakelola membersihkan negara daripada amalan rasuah.

Beliau menyeru semua pemimpin serta penjawat awam agar bersama-sama memerangi rasuah dan menjadikan Malaysia sebagai contoh untuk meningkatkan martabatnya sebagai negara yang hebat.

“Pagi tadi saya menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Baginda sealiran dan mahu menyokong langkah-langkah peningkatan tatakelola untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah.

“Saya fikir ini kesempatan yang baik, saya ingin menyeru semua penjawat awam memberikan khidmat sebaik mungkin… saya yakin Malaysia diangkat kalau kita gunakan dasar yang betul dan bersihkan daripada amalan bobrok,” katanya ketika berucap pada Program Penggerak Madani Negeri Sembilan yang disertai 120 Ketua-Ketua Jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Perdana Menteri juga berkata negara ini tidak mengizinkan kuasa serta sistem pemerintahan dijadikan kesempatan untuk memunggah kekayaan dan perkara itu perlu dinoktahkan sebagai pengajaran.

“Pemimpin seharusnya memikul tanggungjawab sebagai satu amanah, pengukuran kejayaan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan bukan berbilion ringgit digondolnya,” kata beliau.

Anwar berkata sepanjang setahun pemerintahan, beliau tidak pernah mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan keputusan Badan Kehakiman.

“Sebab itu saya memberi laluan penuh kepada SPRM, saya tidak memberi arahan untuk menangkap individu A, menggeledah rumah individu B, saya beri arahan umum, hendak selamatkan negara mesti cari jerung besar, beri satu pengajaran supaya hal ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com