Thursday, 16, October, 2025
Utama Nasional Tular gambar mangsa tikaman pelajar : tindakan undang-undang boleh diambil – MCMC

Tular gambar mangsa tikaman pelajar : tindakan undang-undang boleh diambil – MCMC

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai agar tidak berkongsi atau memuat naik sebarang gambar, video atau kandungan berkaitan insiden tikaman pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.

MCMC dalam kenyataannya turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa berusia 16 tahun dan menasihatkan orang ramai yang telah memuat naik kandungan berkenaan supaya segera memadamkannya.

Menurut suruhanjaya itu, tindakan menularkan kandungan sedemikian bukan sahaja menjejaskan siasatan pihak berkuasa, malah boleh mengganggu emosi keluarga mangsa serta masyarakat.

“Penyebaran gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, tetapi turut boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

MCMC turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Masyarakat juga digesa menghormati sensitiviti keluarga mangsa dan tidak menambah kesedihan mereka dengan menyebarkan bahan tidak wajar di media sosial.

Suruhanjaya itu menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan PDRM dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap akaun atau individu yang menularkan kandungan tidak beretika berhubung insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com