Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional “Laporan kaji selidik Merdeka Center tidak wakili seluruh suara rakyat”

“Laporan kaji selidik Merdeka Center tidak wakili seluruh suara rakyat”

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan kaji selidik oleh Merdeka Center tidak mewakili suara keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, keputusan diperoleh hanya dibuat berdasarkan pandangan daripada 1,200 responden.

“Kita dengar pandangan itu tapi kita kena (sepatutnya) cuba menyantuni yang 32 juta (keseluruhan rakyat Malaysia) oranglah,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Furqan, Presint 11, di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, laporan kaji selidik Merdeka Center mendedahkan prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar merosot pada 41 peratus pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, peratusan tersebut dilihat tinggi berbanding prestasi pentadbiran lalu melibatkan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018.

Dapatan hasil kaji selidik tersebut mendapati peratusan prestasi kerajaan PN-BN mencecah 31 peratus, manakala pentadbiran PH dulu pada 30 peratus.

Dalam perkembangan sama, kaji selidik Merdeka Center itu turut mendedahkan 77.8 peratus responden berpandangan bahawa kebimbangan ekonomi merupakan masalah utama yang dihadapi oleh negara.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengesahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini sudah pulang ke rumah dan sedang berehat selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.

“Dia (Ahmad Zahid) di rumah sekarang,” jawabnya ringkas selepas ditanya wartawan sama ada beliau merancang untuk menziarahi Ahmad Zahid dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid Hamidi kini dalam fasa berehat sepertimana dinasihatkan doktor selepas dilaporkan menjalani satu prosedur pembedahan pada 16 November lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com