KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis meluangkan masa meninjau persiapan sambutan Deepavali di kawasan Little India, Brickfields, sekali gus menyerlahkan keprihatinan kerajaan terhadap kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan rakyat.
Anwar tiba kira-kira jam 4 petang dan disambut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan, sebelum beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri turut menikmati minum petang bersama komuniti India di Madras Bakery selama lebih setengah jam sebelum meneruskan tinjauan ke beberapa kedai dan gerai jualan di bazar Little India yang kini meriah dengan warna-warni persiapan perayaan.
Sepanjang lawatan itu, Anwar diserbu pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang bersalaman serta merakam swafoto bersama beliau dalam suasana penuh mesra.
Seorang peniaga, R. Tashwindren, 30, berkata beliau berasa teruja apabila dapat bertemu dan bersalaman dengan Perdana Menteri secara berdepan.
“Beliau kelihatan mesra dan tidak kekok langsung dengan orang ramai. Kami rasa dihargai apabila pemimpin sendiri turun padang melihat persiapan Deepavali kami,” katanya.
Bagi pengunjung, K. Meena, 32, kehadiran Anwar membawa makna besar kepada masyarakat India menjelang perayaan itu kerana mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap semua kaum di negara ini.
“Deepavali bukan sekadar sambutan keagamaan, tetapi juga masa untuk meraikan semangat perpaduan. Saya gembira kerana Perdana Menteri hadir sendiri melihat suasana ini,” katanya.
Penganut Hindu akan menyambut perayaan Deepavali pada Isnin ini.