Monday, 27, October, 2025
Utama Nasional Facebook Anwar dibanjiri ucapan terima kasih rakyat Kemboja

Facebook Anwar dibanjiri ucapan terima kasih rakyat Kemboja

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ribuan ucapan penghargaan daripada rakyat Kemboja di media sosial selepas termeterainya Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja.

Rata-rata warganet Kemboja menzahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia atas peranan sebagai pemudah cara dalam perjanjian bersejarah yang membuka lembaran baharu ke arah kestabilan dan keharmonian serantau.

“Terima kasih atas usaha gigih anda membantu kami,” tulis seorang pengguna Facebook, Keo Dalis.
Sementara itu, pengguna lain, Hei Nail turut menulis, “Terima kasih atas usaha untuk mewujudkan perdamaian,” manakala Teav Kim Leamg pula menyatakan, “Saya rakyat Kemboja. Terima kasih atas kebaikan anda yang sentiasa membantu dan menyokong Kemboja mencapai keamanan.”

Hantaran di laman rasmi Facebook Anwar dan Pejabat Perdana Menteri itu menerima lebih 4,900 komen, dengan ramai menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti kepimpinan Malaysia dalam memupuk keamanan dan diplomasi ASEAN.

Seorang pengguna Malaysia pula menulis, “Ramai kawan saya dari Kemboja dan Thai ‘like’ bila saya kongsi tentang ini hari ini… tahniah PMX.”


Ada juga yang mendoakan agar perjanjian itu membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Perjanjian damai yang dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu dianggap langkah penting membina semula kepercayaan dua hala selepas pertelingkahan panjang antara Thailand dan Kemboja.

Malaysia, selaku pengerusi ASEAN, memainkan peranan penting sebagai perantara dalam rundingan yang membawa kepada kejayaan perjanjian berkenaan.

Dalam kenyataan di media sosial, Anwar menyifatkan peristiwa itu sebagai “detik bersejarah” bagi diplomasi ASEAN serta kesinambungan daripada gencatan senjata yang dipersetujui di Putrajaya pada 28 Julai lalu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan serantau dan antarabangsa, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, atas peranan membantu meyakinkan kedua-dua negara untuk berdamai.

Anwar menegaskan, kejayaan itu membuktikan suara ASEAN kini semakin berpengaruh dalam memperkukuh keamanan serantau.

“Perjanjian damai ini bukti bahawa kesederhanaan dan dialog mampu menyelesaikan pertikaian, sekali gus mengangkat ASEAN sebagai penghubung keamanan dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com