Tuesday, 21, May, 2024
Utama Nasional Pasukan petugas khas diwujud, percepat kelulusan perolehan projek keselamatan negara

Pasukan petugas khas diwujud, percepat kelulusan perolehan projek keselamatan negara

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mempercepatkan kelulusan perolehan projek dan pembangunan pasukan keselamatan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican untuk memantau pasukan petugas khas itu bagi memastikan semua kelulusan dipercepat.

“Saya mahu sistem perolehan untuk pasukan keselamatan negara dirombak agar lebih telus dan dipercepatkan.

“Minggu lalu, saya ada perbincangan santai dengan rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan badan penguatkuasaan. Mereka semuanya menuntut perbelanjaan lebih besar kerana kelengkapan pertahanan kini agak terbiar,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mengakui sistem perolehan pertahanan agak lemah dan banyak ketirisan, justeru ia (sistem) perlu dirombak selain dipantau golongan profesional.

Beliau berkata, biarpun memasuki akhir tahun, kelulusan perolehan untuk pasukan keselamatan negara wajib disegerakan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik.

“Walau akhir tahun, kita berikan keputusan (kelulusan) agar mereka teruskan kerja. Ini (input) saya dengar daripada perbincangan santai dengan pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan badan penguatkuasa lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Kewangan yang bekerja sebagai satu pasukan dalam tempoh setahun ini untuk membangunkan negara.

“Dengan pengalaman saya setahun di Kementerian Kewangan, saya lihat sambutan alhamdulillah yang saudara saudari tak rasa tersinggung tetapi bekerja sebagai pasukan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com