BALING – Dakwaan kononnya Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menaikkan kadar cukai taksiran sehingga 245 peratus disifatkan sebagai tidak berasas dan mengelirukan, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau menegaskan bahawa proses semakan kadar cukai taksiran masih berjalan dan belum dibawa ke peringkat Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk dimuktamadkan.
“Sekarang proses masih di peringkat semakan dan bantahan, jadi jangan buat kesimpulan kata cukai sudah naik. Itu tak betul. Dakwaan naik 245 peratus pun tak betul,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2025 peringkat Negeri Kedah di Masjid Sultanah Bahiyah, Kampung Bawah Gunung, di sini pada Selasa.
Menurut Sanusi, hanya selepas proses bantahan selesai dan rumusan dibuat oleh MBAS, barulah cadangan semakan itu akan dibawa ke mesyuarat EXCO untuk dipertimbangkan.
Beliau turut menyelar tindakan pihak tertentu yang mensensasikan isu tersebut sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Yang disebut 245 peratus kenaikan itu melibatkan kilang. Berapa ramai sangat pemilik kilang di Alor Setar? Tiba-tiba muncul pula ‘pejuang kilang’, sepatutnya kita jadi pejuang rakyat,” katanya secara sinis.
Sanusi menjelaskan bahawa permohonan semakan yang dibuat MBAS adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan semakan dilakukan setiap lima tahun.
Namun, semakan terakhir dilakukan pada tahun 1993, menyebabkan jurang pendapatan pihak berkuasa tempatan semakin ketara berbanding peningkatan kos perkhidmatan.
Daripada lebih 90,000 pegangan, hanya sekitar 8,000 atau 10 peratus hadir mengemukakan bantahan terhadap nilai taksiran yang dicadangkan.
“Yang bising tu bukan dalam 10 peratus tu, orang luar yang tak terlibat pun… jadi tak payah sensasikan, ini proses biasa. Negeri lain pun buat juga, di PBT lain. Tapi bila berlaku di Kedah, terus jadi benda ajaib di dunia… tak apa, kita hadap sajalah,” ujarnya.
Sementara itu, MBAS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa semua pemilik pegangan yang berhasrat membuat semakan atau bantahan terhadap nilai taksiran boleh berbuat demikian sebelum 5 November 2025.
Notis Penilaian Semula Cukai Taksiran telah mula diedarkan secara pos kepada semua pemilik pegangan sah bermula 9 Oktober lalu, dan semakan boleh dibuat dengan mengimbas Kod QR yang tertera pada notis berkenaan.