KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengiktiraf peranan penting Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai fasilitator dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang berjaya dimeterai baru-baru ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pengiktirafan itu disampaikan sendiri oleh Anutin ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu, yang turut disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Katanya, penghargaan itu sekali gus menepis tuduhan yang tular dalam satu video berbahasa Thailand mendakwa Anwar sebagai pengintip AS dan pengkhianat, susulan peranannya dalam perjanjian damai berkenaan.
“Perdana Menteri Thailand sendiri memberikan pengiktirafan besar kepada Perdana Menteri Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai tersebut. Ini satu pencapaian membanggakan bagi negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata, video yang memaparkan bekas Ketua Stesen Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral Rangsi Kitiyanasap, menuduh Anwar menyebabkan kerugian ekonomi kepada Thailand dalam perjanjian itu, tidak mempunyai sebarang autoriti diplomatik.
Beliau menegaskan, Malaysia tidak akan memberi maklum balas terhadap tuduhan seumpama itu, namun Wisma Putra akan terus memantau keadaan semasa.
“Malaysia adalah negara berdaulat dan mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik dengan Thailand. Jadi, isu tular yang tiada asas rasmi tidak akan dilayan,” katanya.
Terdahulu, dua Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), mendesak Wisma Putra mengambil tindakan terhadap tuduhan dibuat Kitiyanasap yang disifatkan berat serta boleh menjejaskan imej Perdana Menteri.
Shahidan berkata, walaupun berbeza pendirian politik, tuduhan terhadap Perdana Menteri tidak boleh dipandang ringan dan perlu dipertahankan demi maruah negara.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan Wisma Putra menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Thailand bagi menuntut penjelasan lanjut berhubung dakwaan tidak berasas itu.
Sebelum ini, peranan Malaysia sebagai pengantara dalam perjanjian damai Thailand-Kemboja turut mendapat pujian masyarakat antarabangsa, termasuk Presiden AS, Donald Trump, yang menyifatkan Anwar sebagai tokoh hebat dalam menyatukan kedua-dua negara jiran itu.