Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Polis sudah mulakan siasatan terhadap MB Kedah

Polis sudah mulakan siasatan terhadap MB Kedah

oleh Ammar Haziq
Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Polis sudah memulakan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata sebahagian daripada laporan polis sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan pertimbangan sekiranya pemimpin itu wajar dikenakan tindakan undang-undang, sekali gus didakwa di mahkamah.

Ini kerana katanya, Muhammad Sanusi secara tidak bertanggungjawab sanggup melanggar prinsip undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menerima dokumen termasuk laporan polis yang mengesahkan Menteri Besar Kedah secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan beberapa kenyataan iaitu menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya mengembalikan Pulau Pinang ke Kedah.

“Kedua, beliau menyatakan ada asas yang kukuh bahawa Pulau Pinang milik Kedah. Sebagai seorang yang mempunyai kedudukan, kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab.

“Kita merdeka lebih enam dekad, parti memerintah, UMNO, Pas dan Pakatan Harapan (PH) dan sekarang Pas dengan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah pun dibangkitkan melainkan seorang ketua (Muhammad Sanusi) yang tidak bertanggungjawab dan sanggup melanggar prinsip undang-undang perlembagaan.

“Oleh yang demikian, saya serahkan sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang sesuai terhadap beliau,” katanya.

Sebelum itu, Lim Guan Eng (PH-DAP) meminta Perdana Menteri menjelaskan tindakan akan dikenakan ke atas Muhammad Sanusi bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang supaya negeri itu boleh dikembalikan kepada Kedah.

Guan Eng mendakwa, Muhammad Sanusi memecah belahkan perpaduan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan negara.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluaran) tidak bersetuju dengan soalan pertama hari ini kerana berpandangan ia berbaur pilihan raya negeri dan tidak wajar diajukan dalam persidangan hari ini.

Baru-baru ini, Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan.

Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui, soalan pertama ditanya Guan Eng berkait dengan pilihan raya negeri yang akan berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, niat tidak menghalalkan cara sehingga seseorang pemimpin sanggup mengorbankan prinsip dan mencetuskan kekacauan dalam negara.

“Memang benar soalan ini fasal pilihan raya negeri, tetapi apakah kerana mahu gelojoh (mahu menang) pilihan raya negeri kita sanggup korbankan prinsip dan menimbulkan huru-hara? Dan ini yang menyebabkan timbul masalah,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com