Friday, 7, November, 2025
Utama Nasional Fahmi bimbang pihak terlalu mudah guna AI cipta imej Jalur Gemilang tidak tepat

Fahmi bimbang pihak terlalu mudah guna AI cipta imej Jalur Gemilang tidak tepat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan kebimbangan terhadap trend penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej Jalur Gemilang yang tidak menepati ciri sebenar bendera negara.

“Kita dapati ada pihak yang mungkin terlalu mudah menghasilkan gambar dan imej menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga mereka tidak sempat nak kira berapa jalur yang ada, apakah susunan itu betul, bucu bintang cukup atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, kecuaian serta kesilapan dalam pemasangan dan paparan Jalur Gemilang seperti yang berlaku kebelakangan ini perlu diperbaiki oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik atau organisasi.

“Ini satu kecuaian yang saya rasa perlu kita perbaiki. Kita semua ada peranan itu,” katanya ketika menjawab pertanyaan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Fahmi berkata, pihaknya percaya kesilapan itu berlaku disebabkan keghairahan komuniti untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara, namun aspek teknikal dan ketepatan reka bentuk perlu diberi perhatian.

“Mungkin dalam kedua-dua isu — pemasangan yang tersalah caranya dan penghasilan imej yang tidak betul — ada aspek mekanikal yang boleh kita perbaiki bersama. Mekanikal maksudnya dalam kes menghasilkan imej dan gambar itu perlu diperbaiki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tahap keberkesanan program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang berada pada tahap tinggi, iaitu 91 peratus, berdasarkan kajian Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) membabitkan 5,044 responden.

“Dapatan ini adalah selari dengan objektif memperkukuh semangat kenegaraan serta jati diri rakyat Malaysia. Program yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran kenegaraan serta semangat patriotisme, malah turut menyemai rasa bangga dan sayang kepada tanah air merentasi pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com