Friday, 26, April, 2024
Utama Nasional Dua lelaki gagal seludup lima tan ketum

Dua lelaki gagal seludup lima tan ketum

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH, 5 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang lima tan daun ketum dan menahan dua lelaki warga tempatan di kedudukan 2.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah pada jam 1.40 pagi semalam.

Kejayaan serbuan berikutan maklumat risikan mengenai satu perancangan aktiviti menyeludup daun ketum oleh sindiket dalam skala yang besar dijangka berlaku di sekitar perairan Kuala Kedah.

Berikutan itu, bot PERKASA 1226 telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan dan mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak keluar menuju muara Kuala Kedah.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot menuju ke daratan berhampiran, namun berjaya dipintas oleh bot PERKASA 1226.

Dua lelaki warga tempatan telah ditahan bersama 200 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan lebih kurang dua tan.

Hasil siasatan lanjut ke atas dua suspek tahanan, berjaya menemukan lagi 300 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat tiga tan di satu kawasan disyaki lokasi pemunggahan di kedudukan 4.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah.

Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja.

Dua suspek ditahan dan kesemua bungkusan disyaki daun ketum dirampas termasuk bot fiber serta enjin yang dianggarkan bernilai RM1.08 juta itu, seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Kes ini merupakan rampasan daun ketum terbesar bagi Maritim Malaysia setakat ini.

Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

Maritim Malaysia memandang serius akan jenayah ini akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan serta perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Utara Semenanjung Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

LAKSAMANA PERTAMA MARITIM MOHD ZAWAWI BIN ABDULLAH  

PENGARAH MARITIM NEGERI KEDAH DAN PERLIS 

AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com