PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sistem pendidikan negara perlu berubah dengan memberi ruang kepada pelajar berfikir secara kritis, berhujah dan menyuarakan pandangan berdasarkan ilmu, bukan hanya tertumpu kepada peperiksaan dan hafalan semata-mata.
Menurutnya, pembaharuan itu penting bagi melahirkan masyarakat yang berani menegakkan kebenaran serta tidak terikat dengan cara fikir lama yang jumud dan menolak perubahan.
“Jumud ertinya terlalu taasub dengan cara dan kaedah lama. Tak mahu pembaharuan, tak mahu teknologi baharu, tidak bersedia menerima idea-idea baharu,” katanya ketika berucap pada penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Anwar turut memuji penganjuran FOI yang disifatkannya sebagai platform penting untuk mencambah pemikiran segar dan terbuka, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“FOI ini bukti keterbukaan kerajaan dalam menggalakkan wacana segar, berani dan berpaksikan nilai serta akhlak,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Festival yang memasuki tahun kedua penganjuran itu dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan dua juta peserta termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.
Perdana Menteri berkata, Malaysia kini menjadi tumpuan dunia hasil pelaksanaan dasar transformasi digital berteraskan nilai, selain muncul sebagai hab serantau dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
“AI adalah satu kemestian. Kalau tidak mahu AI, kita akan ketinggalan. Tapi AI mesti berdasarkan nilai. AI bukan menteknologikan manusia, tetapi memanusiawikan teknologi,” katanya.
Beliau menegaskan kemajuan negara tidak hanya bergantung pada teknologi semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan nilai kemanusiaan berasaskan keadilan dan kasih sayang.
“Kekuatan bangsa bukan pada permusuhan antara kaum atau agama, tetapi pada kemampuan rakyat menegakkan nilai kemanusiaan serta menyemai semangat saling menghormati dan kasih sayang,” katanya.