Saturday, 15, November, 2025
Utama Nasional Kerajaan siapsiaga hadapi Monsun Timur Laut

Kerajaan siapsiaga hadapi Monsun Timur Laut

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Malaysia berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula Khamis, dengan semua agensi keselamatan dan teknikal digerakkan sepenuhnya.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diaktifkan melalui Op Murni bagi menyokong operasi bantuan banjir, seperti yang dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet turut menerima laporan lengkap daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengenai perkembangan awal monsun yang dijangka lebih mencabar susulan pengaruh fenomena La Nina.

Setakat ini, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mengenal pasti lebih 3,682 kawasan berisiko banjir, manakala 254 cerun kritikal dikenal pasti oleh Jabatan Mineral dan Geosains. Sebanyak 1,768 stesen hidrologi ditempatkan bagi pemantauan paras air dan hujan secara berterusan.

Selain itu, 614 siren amaran banjir dan 285 rumah pam telah dipersiapkan. Jumlah pam bergerak juga ditambah untuk mempercepatkan operasi pemindahan air di kawasan rendah.

Empangan-empangan utama yang berisiko turut dipantau rapat, dengan tindakan intervensi bersedia diambil sekiranya berlaku limpahan atau peningkatan paras air yang melebihi tahap selamat.

Dalam aspek komunikasi, penambahbaikan rangkaian telekomunikasi sedang dilaksanakan termasuk mengalihkan peralatan kritikal ke lokasi lebih tinggi bagi mengurangkan risiko gangguan ketika banjir. Pusat pemindahan sementara juga akan dibekalkan akses internet seperti Wi-Fi dan Starlink sekiranya berlaku gangguan rangkaian.

MetMalaysia meramalkan hujan lebat berterusan di beberapa negeri sepanjang MTL yang dijangka berlangsung sehingga Mac 2026.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com | Hakmilik MERCU MEDIA ADVERTISING SDN. BHD.