Monday, 13, May, 2024
Utama Nasional Diskaun 25 peratus cukai taksiran bagi kediaman mampu milik

Diskaun 25 peratus cukai taksiran bagi kediaman mampu milik

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR :Kerajaan memutuskan untuk memberikan diskaun sebanyak 25 peratus bagi pembayaran cukai taksiran harta untuk kediaman rumah mampu milik yang siap selepas 2014 di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan itu bakal memanfaatkan 25,677 pemilik rumah mampu milik.

“Pengurangan itu membabitkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM2.07 juta dalam tempoh setahun.

“Selepas mendengar keluhan rakyat di peringkat bawahan yang meminta diberikan pengurangan, saya bersetuju memberi pengurangan ini untuk pemilik rumah mampu milik.

“Kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif ini adalah RUMAWIP, PRIMA, PPAM dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur,” katanya semasa berucap pada Sesi Temu Mesra bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Kata Anwar, usaha itu secara tidak langsung mengurangkan beban kos sara hidup bagi mereka yang berada dalam golongan B40 dan M40 di kawasan berkenaan.

Beliau dalam masa sama juga mengharapkan pemilik kediaman komited dalam melangsaikan pembayaran cukai taksiran bagi memastikan pihak DBKL sentiasa dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Dalam majlis sama, Anwar turut merasmikan bangunan tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com