Kuala Lumpur: Empat negara iaitu Kemboja, Thailand, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menegaskan komitmen mereka untuk memastikan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dilaksanakan sepenuhnya tanpa melibatkan sebarang bentuk kerjasama perdagangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, jaminan itu disampaikan kepadanya dalam perbualan bersama Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
“Kami sepakat bahawa kemajuan mesti dicapai dalam isu pembersihan ranjau darat, dan ia perlu dilakukan tanpa mengaitkan apa-apa bentuk urusan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap peranan aktif Trump yang terlibat secara peribadi dalam membantu usaha menyelesaikan isu sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Ketegangan kedua-dua negara memuncak selepas laporan antarabangsa menyatakan Thailand menggantung semua perjanjian dengan Kemboja susulan insiden letupan ranjau darat di wilayah Sisaket. Empat anggota tentera Thailand cedera, termasuk seorang yang putus kaki akibat letupan ranjau PMN-2 ketika melakukan rondaan.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur sebelum ini ditandatangani oleh Anutin dan Hun Manet, disaksikan Anwar serta Trump, sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan lalu.