Thursday, 25, April, 2024
Utama Nasional UUM Meterai MoU dengan Lima Universitas Islam Negeri Indonesia

UUM Meterai MoU dengan Lima Universitas Islam Negeri Indonesia

oleh Ammar Haziq
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan (duduk, tiga dari kiri) menandatangani MoU antara UUM dan 5 Universitas Islam Negeri di Hotel Grand Mercure Jakarta Harmoni pada 29 Mei. FOTO UUM

Jakarta: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama Malaysia menjalinkan kerjasama akademik dengan lima Universitas Islam Negeri (UIN) di Indonesia.

Lima UIN terlibat ialah UIN Ar-Raniry Banda Aceh, UIN Mataram, UIN Sunan Gunung Djati Bandung, UIN Sunan Ampel Surabaya dan UIN Raden Fatah Palembang.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, pemilihan UUM ini adalah suatu pengiktirafan di arena antarabangsa dan secara tidak langsung membolehkan pelajar Indonesia yang terpilih untuk mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah di bawah kerjasama akademik antara UUM dan UIN.

“Pelajar yang layak akan menerima tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang holistik, mempersiapkan pemimpin, pendidik dan profesional masa depan buat negara ’Garuda’ ini,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan 5 Universitas Islam Negeri di Hotel Grand Mercure Jakarta Harmoni pada 29 Mei.

UIN Sunan Gunung Djati Bandung diwakili Rektor, Prof. Dr. H. Mahmud; UIN Sunan Ampel Surabaya oleh Rektor, Prof. Akh. Muzakki; UIN Raden Fatah Palembang oleh Rektor, Prof. Dr. Nyayu Khodijah; UIN Mataram oleh Rektor, Prof. Dt. Masnun Tahir dan UIN Ar-Raniry Banda Aceh oleh Rektor, Prof. Dr. H. Mujiburrahman.

Kumpulan pertama pelajar tajaan Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag) ini dijangka akan mendaftar bagi kemasukan September 2023.

Setiap pelajar akan terlebih dahulu mengikuti tempoh pengajian di UUM selama setahun, kemudian menyambung pengajian di UIN terlibat, sekali gus melayakkan mereka dianugerahkan dua sijil sarjana dari dua universiti berkenaan sekiranya berjaya melengkapkan pengajian mereka dalam tempoh ditetapkan.

Selain itu, kerjasama antara UUM dan lima UIN ini turut merangkumi pertukaran staf dan pelajar, penganjuran persidangan akademik secara bersama, kerjasama dalam penerbitan dan lain-lain yang bersesuaian.

Kemenag mengawal selia 27 UIN di Indonesia dan turut menawarkan biasiswa bagi pelajar dan pensyarah UIN untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di seluruh dunia.

Kerjasama antara UUM dan Kemenag secara umumnya melibatkan kerjasama akademik dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran program akademik yang ditawarkan oleh UIN.

Pusat pengajian dari UUM yang terlibat dalam kerjasama akademik ini adalah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).

Semoga kerjasama akademik yang dirancang ini akan berjalan dengan lancar serta berjaya mencapai objektif yang disasarkan oleh pihak Kemenag dan UUM.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Direktur Jenderal Pendidikan Islam, Kemenag, Prof. Dr. Muhammad Ali Ramdhani bersama-sama Atase Pendidikan, Education Malaysia Indonesia (EMI), Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Zulfadhli Hamzah; Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Dr. Yahya Don; Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar dan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Mohd. Khairie Ahmad.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com