Thursday, 22, January, 2026
Utama Nasional“Tiada keperluan PDRM siasat pengkritik saya jika tiada unsur jenayah”

“Tiada keperluan PDRM siasat pengkritik saya jika tiada unsur jenayah”

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu mengambil sebarang tindakan terhadap individu yang mengkritiknya selagi tidak membabitkan perbuatan berunsur jenayah.

Beliau berkata beberapa laporan dan aduan melibatkan serangan politik terhadap dirinya sebelum ini telah diarahkan untuk tidak disiasat kerana tidak melangkaui batas undang-undang.

Menurutnya, kritikan berasaskan pandangan politik, termasuk desakan supaya beliau meletakkan jawatan, tidak wajar dilayan oleh polis kerana ia merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.

Anwar turut mengakui wujud kritikan keterlaluan dan tidak berasas namun menegaskan hanya tuduhan melampau, bersifat fitnah serius atau berunsur jenayah sahaja layak diberi perhatian pihak berkuasa.

“Saya sudah arahkan supaya apa-apa kecaman terhadap saya atau jawatan Perdana Menteri tidak perlu dikenakan tindakan, kecuali yang melibatkan kesalahan jelas,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Cyberjaya 10.

Dalam masa sama, beliau menyindir tindakan sesetengah pihak termasuk dalam kalangan parti Melayu-Islam yang didakwa menyokong serangan bersifat melampau terhadapnya.

Katanya, kerajaan kekal berpendirian bahawa perbezaan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menyempitkan ruang kebebasan bersuara selagi tidak melanggar undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan