Wednesday, 17, December, 2025
Utama NegeriNasib mangsa ombak besar Kuala Muda dapat perhatian

Nasib mangsa ombak besar Kuala Muda dapat perhatian

oleh Ammar Haziq

KUALA MUDA – Nasib 24 keluarga nelayan yang terjejas akibat bencana ombak besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai, dekat sini, mendapat perhatian apabila Yayasan Telekom Malaysia (Yayasan TM) tampil menghulurkan bantuan dengan kerjasama HALUAN Malaysia.

Kejadian ombak besar yang berlaku pada 22 Oktober lalu telah menyebabkan kerosakan serius ke atas beberapa buah rumah nelayan, malah ada yang tidak lagi selamat untuk didiami dan terpaksa ditinggalkan oleh penghuni.

Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk, HALUAN Cawangan Kedah segera menjalankan kerja-kerja penilaian dan verifikasi keperluan mangsa sejak sebulan lalu bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Hasil kerjasama erat antara Yayasan TM dan HALUAN Malaysia, bantuan barangan keperluan asas rumah telah disalurkan kepada 24 keluarga terpilih dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di kampung berkenaan.

Antara barangan yang disumbangkan termasuk kit solat, kit kebersihan, kit dapur, set tilam dan makanan kering.

Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Komuniti dan Negara Yayasan TM, Azizul Salfaizal Aziz.

Turut hadir, Setiausaha HALUAN Kedah, Mohd Fuad Razali dan Pengurus Pembangunan Program HALUAN Malaysia, Mohd Jamil Muda.

Artikel Berkaitan