SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kepimpinan baharu apabila Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dilantik sebagai Naib Canselor untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 16 Disember 2025.
Pelantikan beliau disahkan melalui surat rasmi yang ditandatangani Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Putrajaya.
Sejurus menerima pelantikan, Dr. Ahmad Martadha memulakan tugas rasmi di Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, Sintok.
Tokoh akademik ini bukan asing bagi warga UUM kerana pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selama hampir empat tahun.
Beliau juga merupakan antara staf terawal universiti sejak tahun 1993, sekali gus mencatat lebih tiga dekad kesetiaan kepada UUM dan negeri Kedah.
Berkelulusan dari Amerika Syarikat, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Southern Illinois University, Carbondale; Sarjana Pentadbiran Awam dari Indiana State University; serta Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Awam/Sains Politik dari Southern Illinois University, Carbondale.
Bidang penyelidikan beliau tertumpu kepada reformasi pentadbiran, analisis dasar dan tadbir urus, dengan sumbangan ilmiah yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain itu, beliau aktif dalam pelbagai persatuan antarabangsa termasuk sebagai Ahli Pengasas Asia Pacific Society of Public Affairs, Pengerusi ASEAN University Network Student Affairs Network, serta Presiden IMT-GT Varsity Council.
Di peringkat nasional, beliau turut menyumbang kepakaran sebagai Pengerusi Pengajian Am STPM dan Pengerusi Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Awam (MAKLUM).
Beliau juga sering tampil sebagai pengulas tetap media arus perdana berkaitan isu dasar luar dan politik antarabangsa.
Pelantikan ini dilihat sebagai kesinambungan kepimpinan akademik UUM yang berakar daripada pengalaman panjang beliau, sekali gus diyakini mampu memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pentadbiran awam dan tadbir urus di rantau ini.