Saturday, 27, July, 2024
Utama Negeri UUM diiktiraf universiti awam bawah usia 50 tahun terbaik negara

UUM diiktiraf universiti awam bawah usia 50 tahun terbaik negara

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai universiti ke-71 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024 yang diumumkan jam 1 tengah hari ini waktu tempatan.

Kedudukan UUM pada tahun lalu pada tangga 95 terbaik dunia, meningkat 24 anak tangga.

Pengiktirafan itu sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti awam nombor satu terbaik di Malaysia dalam penarafan tersebut.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengucapkan terima kasih kepada semua warga universiti yang bertungkus lumus bekerja untuk meletakkan UUM sentiasa dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, bukan mudah apabila universiti perlu bersaing hebat dengan universiti terkemuka lain untuk berada di kedudukan Top 100 ini.

“Sempena usia UUM 40 tahun, keputusan ini telah menunjukkan UUM terus unggul di persada antarabangsa, khususnya dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan serta sains sosial.

“Kedudukan UUM melonjak 24 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-71 terbaik dunia didorong oleh indikator kualiti penyelidikan, selain mengekalkan markah tinggi untuk kategori pengajaran dan persekitaran penyelidikan.

“Ini secara tidak langsung meletakkan imej dan nama UUM sebaris dengan universiti ternama dunia yang telah mencipta rekod tersendiri,” katanya.

THE Young University Rankings 2024 menggunakan 17 indikator dalam lima kategori iaitu pengajaran (29.5 peratus), kualiti penyelidikan (30 peratus), persekitaran penyelidikan (29 peratus), pandangan antarabangsa (7.5 peratus) dan pendapatan industri (4 peratus).

THE Young University Rankings 2024 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan lebih 673 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2024.

Keputusan penuh boleh layari https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/2024/young-university-rankings

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com