KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia, sambil menegaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah memastikan kestabilan ekonomi diurus secara berhemat dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, kestabilan itu bukan sekadar diukur melalui angka pertumbuhan, sebaliknya perlu dirasai secara langsung oleh rakyat menerusi peluang pekerjaan yang selamat, adil dan mampan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan MADANI komited untuk memastikan pengurusan kewangan awam kekal berdisiplin di samping mempercepat pelaksanaan pembaharuan struktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya, langkah itu penting bagi membina pertumbuhan yang benar-benar kukuh, berdaya tahan terhadap kejutan luaran serta mampu memberikan manfaat bermakna kepada semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan akan terus mengurus fiskal negara secara berhemat dan menumpukan pembaharuan yang perlu supaya pertumbuhan ekonomi yang dicapai tidak rapuh, sebaliknya mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan keyakinan berterusan terhadap masa depan negara,” katanya menerusi catatan di media sosial.
Terdahulu, Ketua Misi IMF ke Malaysia, Masahiro Nozaki, berkata negara ini menunjukkan daya tahan ketara dalam berdepan ketegangan perdagangan global serta ketidakpastian dasar antarabangsa.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini kekal pada kadar yang sihat, disokong penggunaan dan pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan yang stabil serta kitaran peningkatan dalam sektor teknologi global.
Nozaki berkata, prestasi ekonomi yang kukuh itu sebahagiannya mencerminkan pelaksanaan dasar ekonomi yang mantap, dengan pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat.
Beliau turut menyatakan bahawa daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, meskipun berdepan cabaran luaran.
Bagaimanapun, kakitangan IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan menyederhana sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026.
Penurunan sederhana itu, menurut IMF, kebanyakannya mencerminkan kesan tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi terhadap negara, namun permintaan domestik yang kukuh dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.