Monday, 29, December, 2025
Utama EkonomiEkonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 walaupun berdepan cabaran tarif, ketidaktentuan geopolitik

Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 walaupun berdepan cabaran tarif, ketidaktentuan geopolitik

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terus menunjukkan daya tahan pada 2025 meskipun berhadapan cabaran perang tarif global dan ketidaktentuan geopolitik antarabangsa, hasil pelaksanaan dasar perdagangan yang terbuka serta asas ekonomi yang semakin kukuh.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keupayaan negara mengekalkan kestabilan itu turut dipacu oleh usaha berterusan kerajaan memperkukuh struktur ekonomi bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.


Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa daya saing ekonomi negara tidak boleh bergantung kepada pencapaian sedia ada semata-mata, sebaliknya memerlukan pembaharuan berterusan bagi mengelakkan sikap terlalu selesa.


“Sewaktu saya menggalas tanggungjawab ini pada Disember 2023, defisit fiskal Malaysia berada pada paras 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.


Menurut beliau, defisit fiskal negara kini dijangka menurun kepada 3.8 peratus pada 2025, selari dengan sasaran 3.5 peratus pada 2026, manakala ringgit turut muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia.


“Hari ini, kita melihat penambahbaikan ketara dalam kedudukan fiskal negara dan prestasi mata wang, yang mencerminkan keyakinan pasaran terhadap hala tuju ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu catatan di LinkedIn.


Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata kadar pengangguran negara kekal pada paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu sekitar tiga peratus, sekali gus mencerminkan kestabilan pasaran buruh.


“Kita juga mencatatkan rekod pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap trajektori ekonomi Malaysia,” katanya.


Beliau menegaskan bahawa pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan kukuh tiga teras utama Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada pertumbuhan mampan, kesejahteraan rakyat dan pembaharuan struktur.


Bagi 2026, kerajaan kekal komited untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan yang lebih mendalam dan berkesan.


“Kita telah membuktikan bahawa Kerangka Ekonomi MADANI berfungsi dengan baik. Cabaran seterusnya adalah mengekalkan momentum sambil mengurus kejutan luaran yang tidak menentu,” katanya.


Menurut beliau, Malaysia kini berada pada titik perubahan penting dalam pemulihan pasca pandemik COVID-19 dan sedang berusaha untuk meraih semula kedudukan sebagai antara ekonomi utama di rantau Asia.


“Masih banyak yang perlu dilakukan dan kita mesti kekal bertekad untuk terus bergerak ke hadapan berpandukan perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan