PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) setakat ini masih belum menunjukkan sebarang keseriusan.
Anwar menegaskan, keutamaan Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara bagi membolehkan agenda pembangunan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat dilaksanakan dengan berkesan.
“Setakat ini saya tidak menerima sebarang maklumat. MN itu belum serius dan ia keputusan masing-masing.
“Tetapi yang penting sekarang, Kerajaan Perpaduan kekal utuh dan semua telah berikrar untuk menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi serta kebajikan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, di sini, hari ini.
Mengulas cadangan beberapa pihak berhubung kerjasama politik pembangkang, Anwar berkata perkara itu bukan urusan kerajaan dan tidak menjejaskan tumpuan pentadbiran semasa.
“Soal pihak lain mempunyai perancangan atau cita-cita politik sendiri, itu bukan masalah saya dan saya tidak campur,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar Perikatan Nasional dibubarkan dan Muafakat Nasional dihidupkan semula, susulan kemelut politik yang berlaku di Perlis.
Cadangan berkenaan turut disambut Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan MN boleh dipertimbangkan semula sekiranya UMNO dan Barisan Nasional menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, saranan itu mencetuskan pelbagai reaksi apabila ada pihak berpandangan langkah berkenaan berpotensi memberi implikasi besar terhadap landskap politik pembangkang sekiranya tidak diteliti secara menyeluruh.