Friday, 10, May, 2024
Utama Nasional Pengurangan subsidi hanya untuk T20

Pengurangan subsidi hanya untuk T20

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengurangan pemberian subsidi tidak menjejaskan semua lapisan masyarakat berikutan ia hanya membabitkan inisiatif kadar elektrik dan haji bagi golongan T20.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pengurangan itu tidak sepatutnya dipersoalkan apa tag lagi ada segelintir pemimpin politik yang menggerakkan kempen mendakwa kerajaan mengurangkan pemberian subsidi kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, pendekatan itu terpaksa dibuat bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat dalam golongan B40 dan M40.

“Saya kurang faham, mana kurangnya subsidi? Kita kurangkan (subsidi elektrik dan haji) bagi golongan kaya, bukan untuk rakyat tetapi hanya bagi golongan maha kaya.

“(Pemberian subsidi) tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan 90 peratus tidak terkesan. Malah, kadar elektrik bagi industri sederhana kecil (IKS) dan makanan tidak dinaikkan.

“Kenapa nak politikkan isu ini? Kita nak jadi jaguh siapa?” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai pendekatan pengurangan pemberian subsidi yang membebankan rakyat.

Perdana Menteri turut mempersoal kewajaran subsidi haji diberi kepada golongan T20, sedangkan mereka mampu melakukannya pada kadar kos ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau menyatakan komitmen untuk melaksanakan pendekatan berkenaan walaupun menerima rungutan daripada golongan T20 berhubung pengurangan subsidi haji.

“Kamu (golongan T20) sudah kaya benor (sangat), takkan TH nak beri subsidi untuk pergi ke Makkah?

“Saya terpaksa ambil daripada orang kaya supaya tidak bebankan golongan miskin. Itu pun kadar agak minimal, kalau haji TH tak dibenarkan ambil untung, cuma ambil kira kos haji,” katanya.

Mengenai jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Anwar berkata, ia diputuskan sepenuhnya Bank Negara (BNM), selain menjelaskan berlaku satu kenaikan sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran

“Baru sekali naik (OPR), ketimbang empat kali pada tahun lalu. Setakat saya boleh gesa, BNM harus teliti, bukan sahaja isu monetari tetapi fiskal dan keyakinan keseluruhannya.

“Kita juga harus terima kenyataan kenaikan OPR seperti di Singapura, akan membantu memperkukuh nilai mata wang,” katanya. – Kedahgazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com