Saturday, 3, January, 2026
Utama Gaya HidupAkta keselamatan dalam talian berkuatkuasa, MCMC perkukuh perlindungan kanak-kanak

Akta keselamatan dalam talian berkuatkuasa, MCMC perkukuh perlindungan kanak-kanak

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bermula hari ini menjadi langkah penting bagi memastikan persekitaran internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan akta berkenaan menyediakan kerangka perundangan yang jelas bagi menangani kemudaratan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna.


“ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani risiko dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna,” menurutnya dalam satu kenyataan.


Menurut MCMC, akta itu terpakai kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), namun tidak melibatkan pengguna individu.


Selain itu, peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A AKM 1998 turut berkuat kuasa, menjadikan semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada serta perlu mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.


“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar tertakluk kepada pengawasan serta akauntabiliti yang bersesuaian,” ujarnya.


MCMC turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa, pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang serta pertubuhan masyarakat sivil bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.


“Kerjasama menyeluruh ini penting bagi menyokong ekosistem dalam talian yang selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan