Thursday, 28, March, 2024
Utama Gaya Hidup UUM lancar sambutan bulan kemerdekaan, portal berita digital

UUM lancar sambutan bulan kemerdekaan, portal berita digital

oleh Ammar Haziq

SINTOK– Sempena Hari Kebangsaan yang disambut pada setiap 31 Ogos, Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UUM yang diadakan sempena Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) UUM di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

Antara tarikan sempena pelancaran itu adalah persembahan silat dan juga perarakan kibar jalur gemilang yang melibatkan pelajar dari pelbagai kaum. Pelbagai program juga telah disusun sepanjang bulan kemerdekaan yang akan berakhir pada 16 September nanti seperti deklamasi sajak, kempen kibar Jalur Gemilang, gotong-royong perdana, UUMFit Merdeka, Bengkel Puisi Artistik Peringkat Negeri Kedah dan Virtual Ekspresi Puisi Mahasiswa 2022 Sempena Hari Malaysia.

Di samping itu, menggunakan tagline ‘Your Reliable Digital Information’, portal berita digital UUM iaitu ‘UUM Today’ turut dilancarkan, sekali gus mencipta sejarah sebagai portal berita pertama seumpamanya yang dimiliki universiti awam di negara ini. Fungsi UUM Today ialah untuk menyebar luas maklumat dan berita-berita yang berlaku di dalam kampus dan luar kampus, yang kemudian akan disiarkan melalui portal berita digital yang merangkumi berita dalam bentuk teks, web tv dan web radio.

Portal Berita Digital UUM Today ini mengandungi tiga komponen utama iaitu bahagian berita digital, pemasaran digital, dan pengurusan acara secara digital. Komponen berita digital akan memaparkan berita-berita terkini mengenai UUM dan luar kampus menerusi penggunan web tv dan web radio. Manakala komponen pemasaran digital membantu mempromosi program-program ijazah UUM, tempat-tempat menarik dan kemudahan-kemudahan infrastruktur universiti untuk disewa oleh pihak luar, disamping menjana pendapatan melalui iklan-iklan perniagaan di Channel UUM Today di dalam media-media sosial seperti Youtube, Facebook, dan TikTok.

Komponen pengurusan acara secara digital pula platform untuk hebahan program dan aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat-Pusat Pengajian, Pusat-Pusat Tanggung Jawab (PTJ), dan lnapan-lnapan Siswa (lnasis) di universiti dengan lebih efisien dan meluas.

Turut dilancarkan laman sesawang UUM 4.0. Laman sesawang ini memiliki reka bentuk antara muka yang lebih lancar dan lebih mesra pengguna, maklumat yang lebih komprehensif, bantuan navigasi yang mudah untuk memudahkan pencarian pengguna sekali gus memberikan pengalaman terbaik.

Pada majlis sama, Ahmad Masrizal turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 118 staf universiti ini yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2021.

Majlis yang turut dihadiri Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah itu turut menyaksikan Dr. Mohamad Sabri Sinai dari Pusat Pengajian Pengkomputeran sebagai penerima Insentif Kecemerlangan Akademik yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com