ISTANBUL: Malaysia akan terus berpegang kepada dasar geopolitik bebas dengan menjalin persahabatan dan kerjasama bersama semua pihak antarabangsa tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar, selaras dengan kepentingan nasional dan kedaulatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu membolehkan Malaysia memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan ekonomi, menarik pelaburan strategik serta memastikan kestabilan jangka panjang dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia ketika ini adalah unik, khususnya di tengah-tengah persaingan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China, namun negara berjaya mengekalkan hubungan baik dengan kedua-duanya tanpa mengorbankan prinsip kebebasan dasar luar.
Menurut Anwar, Malaysia turut memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa melalui platform dan blok baharu termasuk BRICS, negara-negara Amerika Latin serta benua Afrika sebagai langkah mempelbagaikan rakan ekonomi dan perdagangan.
“Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik, terutama dalam sektor strategik seperti semikonduktor serta elektrik dan elektronik, dengan pelaburan Amerika Syarikat masih menjadi yang terbesar,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama Malaysia juga merupakan rakan penting kepada China, sekali gus membuktikan keupayaan negara mengimbangi hubungan dengan dua kuasa ekonomi utama dunia secara pragmatik dan berhemah.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di hadapan pemain industri Turkiye serta wakil syarikat Malaysia dalam sesi meja bulat di Istanbul, yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Mengulas hubungan Malaysia–Turkiye, Anwar berkata kedua-dua negara berkongsi pendirian yang hampir sama dalam menangani geopolitik antarabangsa, termasuk keengganan untuk menjadi alat kepada persaingan kuasa besar.
Beliau berkata, persamaan itu memudahkan kerjasama industri dan pelaburan, selain mengukuhkan hubungan dua hala yang dibina atas asas saling menghormati dan kepentingan nasional.
Anwar turut menegaskan kestabilan politik dan dinamisme ekonomi Malaysia membolehkan negara menumpukan usaha kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus mencatat prestasi memberangsangkan dari segi mata wang, pelaburan serta daya tahan ekonomi.
Menurut beliau, pendekatan berkawan dengan semua pihak tanpa mengorbankan kedaulatan adalah kunci untuk memastikan Malaysia terus relevan, berdaya saing dan dihormati di pentas antarabangsa.