Friday, 16, January, 2026
Utama EkonomiBujang lega terima SARA, kos dapur lebih terurus

Bujang lega terima SARA, kos dapur lebih terurus

oleh Ammar Haziq

BALING: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterima hari ini disifatkan amat bermakna buat golongan bujang berpendapatan rendah apabila ia membantu menampung keperluan asas harian, khususnya pembelian beras dan barang dapur.

Pembantu taska, Nur Hafizah Abdul Rahman, 34, berkata bantuan RM50 sebulan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya memandangkan pendapatan bulanan yang diperoleh tidak sampai RM1,000.

“Memang sangat membantu sebab duit yang ada hanya cukup-cukup untuk perbelanjaan harian.

“Dengan bantuan ini, saya boleh beli beras dan barang dapur untuk saya dan ayah,”katanya, yang kematian ibunya pada Jun tahun lalu.

Seorang lagi penerima, Mohd Anif Zulkifli, 29, berkata dia bersyukur menerima bantuan SARA RM100 kerana pendapatannya hasil kerja kampung adalah tidak menentu, selain perlu menjaga ibunya yang uzur dan tidak sihat.

“Duit ini sangat membantu, sekurang-kurangnya dapat beli beras.

“Saya harap kerajaan dapat terus membantu golongan seperti kami,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam perkongsian di Facebook memaklumkan, golongan bujang yang layak di bawah program SARA akan menerima bantuan bulanan sehingga RM100 mengikut kelayakan masing-masing bermula hari ini.

Seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima SARA Bulanan berdasarkan dua kategori iaitu RM50 membabitkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah.

Manakala mereka dengan julat pendapatan sama yang juga tersenarai sebagai penerima eKasih bakal mendapat RM100 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad.

Artikel Berkaitan