SUNGAI PETANI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi apabila berjaya merampas sebanyak 12,100 liter minyak diesel dalam satu serbuan di Kampung Permatang Gedong, di sini pada Isnin.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan yang dijalankan sekitar jam 2 petang itu melibatkan kerjasama KPDN Cawangan Sungai Petani serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan pihaknya sebelum mendapati sebuah lori sedang membuat pengisian minyak diesel di sebuah stesen minyak sekitar kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori terbabit, pihak kami menemui sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam dua buah tangki Intermediate Bulk Container (IBC).
“Susulan penemuan itu, KPDN Kedah kemudiannya menjalankan serbuan ke atas sebuah stor yang disyaki menjadi lokasi pengumpulan dan penyimpanan minyak diesel secara haram,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pemeriksaan di stor berkenaan membawa kepada rampasan keseluruhan 12,100 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM34,364, selain sebuah lori, dua unit tangki IBC serta peralatan berkaitan.
Jelasnya, jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM111,500.
Dalam pada itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
Menurut Muhammad Nizam, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.
“Manakala bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya, denda boleh dikenakan sehingga RM5 juta,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan, khususnya barang kawalan bersubsidi, dan tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian.
“KPDN juga amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada orang awam berhubung sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan.
“Pemeriksaan dan operasi akan terus dipergiatkan selaras dengan inisiatif Kita Gempur,” katanya.