Monday, 26, January, 2026
Utama NasionalPM nafi Malaysia serah ribuan hektar tanah kepada Indonesia

PM nafi Malaysia serah ribuan hektar tanah kepada Indonesia

oleh Ammar Haziq

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan melibatkan tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.


Beliau bagaimanapun memaklumkan Malaysia bersedia mengadakan perbincangan secara berhemah berhubung isu pampasan tanah berkenaan dalam masa terdekat.


“Laporan itu tidak betul, kita akan berunding dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir.


Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam serta Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.


Sebelum ini, media melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa beralih ke Malaysia, selain pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik yang masih belum dimuktamadkan, manakala Indonesia didakwa memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar daripada Malaysia.


Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menjelaskan bahawa rundingan penandaan dan pengukuran kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara Malaysia dan Indonesia.


Beliau berkata proses berkenaan tidak berasaskan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi, sebaliknya melalui rundingan teknikal yang komprehensif dan telus.


Pemuktamadan pengukuran sempadan darat tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara pada 18 Februari 2025 selepas melalui proses rundingan lebih 45 tahun.

Artikel Berkaitan