ALOR SETAR – Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dan masih mempunyai tali pusat dijumpai dalam balutan kain batik di belakang sebuah rumah di Kampung Sakan, Alor Setar kira-kira jam 7.30 hari ini.
Abdul Shukkur Ali Akhbar, 52 yang dipetik melalui Sinar Harian berkata, dia menyangka pada awalnya bungkusan tersebut mengandungi anak kucing yang telah dibawa pulang oleh anak-anaknya.
“Saya tanya anak-anak tetapi mereka nafi. Saya kemudian menyuruh anak lelaki membuka bungkusan tersebut dan terkejut apabila mendapati di dalamnya terdapat seorang bayi,”katanya.
Sebelum itu Abdul Shukkur yang baru sahaja selesai solat Subuh mahu keluar ke belakang rumahnya untuk memberikan ayam peliharaannya makan.
Tambahnya, seorang saudara dia telah menghubungi Polis dan pihak berkuasa tiba di lokasi kira-kira jam 8.30 pagi dan membawa bayi tersebut ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan penemuan bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.-KG