JITRA – Bapa kepada pesakit kanser otak tahap 4 yang baru berusia 9 tahun mengharapkan doa orang ramai agar anaknya, Muhammad Danial segera sembuh.
Mohd Nasri Juwanda, 30 berkata, keadaan anaknya lemah selepas sesi kemoterapi kali pertama pada 23 November tahun lalu.
Menurutnya, anak sulungnya itu kini banyak berehat di atas katil sahaja.
“”Selepas kimoterapi pertama, dia tidak lalu makan dan keadaannya sedikit lemah tapi semangat Muhammad Danial untuk sembuh tinggi. Pernah dia sebut teringin hendak bermain basikal tapi keadaan badannya yang lemah menyebabkan kami tidak membenarkannya.
“Kami mengharapkan doa orang ramai agar sesi kemoterapi ini akan memberikan kesan positif dan berharap dia mampu bertahan untuk menghabiskan tujuh sesi kemoterapi lagi. Berat badannya juga turun sekilogram kepada 19 kilogram,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Kenanga, Jitra baru-baru ini.
Nasib yang menimpa pelajar SK Jitra 2 itu mendapat perhatian banyak pihak termasuk Pengurus Besar Pasaraya Econsave Zon Utara, Zamzuri Mansor.
Muhammad Danial dijangka membuat sesi kimoterapi kali kedua pada minggu ini jika keadaan badannya mengizinkan.
Sementara itu, Zamzuri ketika ditemui berkata, sumbangan seperti keperluan dapur, rumah dan kelengkapan persekolahan kepada keluarga Muhammad Danial melalui dana Econsave Prihatin bagi tahun 2021 zon utara dengan nilai sumbangan sebanyak RM1,000 diharapkan mampu menceriakan keluarga tersebut.
Sebelum ini media melaporkan seorang murid tahun dua SK Jitra 2 di sini berubah menjadi seorang pendiam apabila disahkan menghidap penyakit kanser otak tahap empat pada Julai lalu.