ALOR SETAR – Penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew turun ke utara untuk bertemu dua ulama besar di utara samping meneruskan kerja-kerja kebajikannya di Kedah dan Perlis pada Khamis.
Ulama tersebut adalah Tuan Guru Syeikh Muhd Zainul Asri Romli dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi mendapatkan nasihat, motivasi dan doakan bagi memudahkan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh Ustaz Ebit.
Ustaz Ebit berkata, Syeikh Muhd Zainul Asri sentiasa memberikan semangat dan doa buat dirinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hari ini (Khamis) Allah kabulkan hajat saya untuk minta nasihat, doa dan amalan buat bekalan saya. Setiap pagi Tuan Guru Syeikh ada buat live fb.
“Beliau selalu mengikuti saya di fb dan youtube. Sifat beliau yang amat merendah diri. Ya Allah terasa bahagia sangat. Tenang melihat wajahnya. Kata-katanya dan senyumannya penguat dikala ujian hidup ini. Saya niat nak beri hadiah padanya tapi dibalas dengan macam-macam hadiah pada saya. Ya Allah tuhanku..sifat dan akhlak beliau,”katanya menerusi Facebooknya.
Mengulas mengenai pertemuan bersama Mufti Perlis pula, Ustaz Ebit berkata, Sifat rendah diri dan layanan Dato Dr Maza membuatkan dirinya rasa terharu dan rasa malu.
Menurutnya, perjumpaan tersebut bagaikan terasa seperti guru yang amat rapat dan dekat sangat dengan dirinya.
“Terima kasih Dato Dr Maza selama ini selalu mesej memberi semangat. Dah setahun Dr Maza beri kata semangat dan nasihat.
“Ya Allah kadang bila kita rasa lemah. Dapat menziarahi alim ulama yang amat kita hormati sayangi buat kita jadi kuat. Kami banyak menceritakan tentang urusan hati kita dengan Allah. Ikhlas pada Allah.
“Allah buka jalan kita untuk berbuat baik. Peluang tu datang. Orang minta tolong dan bantuan tanpa henti. Dapat berkongsi rezeki dan rasa bahagia. Dan paling utama kita dapat beri masa dekat diri pada Allah. Apa lagi kita ingin dalam hidup ini,”katanya.