Monday, 25, November, 2024
Utama Sukan Jangan jadikan hak rakyat sebagai galang ganti

Jangan jadikan hak rakyat sebagai galang ganti

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN BOLASEPAK NEGERI KEDAH DARUL AMAN

TARIKH: 19 Februari 2021

Y.BHG. DATO’ TIMBALAN PRESIDEN, NAIB-NAIB PRESIDEN, YB. SETIAUSAHA KEHORMAT & SELURUH AHLI EKSEKUTIF KFA MENYARANKAN PEMINAT BERSABAR DAN MENYOKONG PENUH KEPUTUSAN YAB PRESIDEN DALAM ISU RUNDINGAN PEMILIKAN SAHAM KEDAH DARUL AMAN FC

Y.Bhg. Dato’ Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, YB. Setiausaha Kehormat & Seluruh Ahli Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) sebulat suara mengeluarkan kenyataan media menyokong penuh keputusan YAB Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Negeri Kedah merangkap Presiden KFA untuk tidak meneruskan dan memberhentikan rundingan pengambil alihan 80 peratus saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) oleh sebuah syarikat tempatan.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA juga menyokong penuh KDA FC diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Darul Aman Football Club Sdn. Bhd. buat masa ini dan meninjau peluang pelaburan dengan terus membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang ingin membuat penawaran lebih lestari dan menguntungkan kedua-dua pihak dalam isu pemilikan saham KDA FC di masa akan datang.

KFA menekankan bahawa setiap tawaran dilakukan biarlah bermaksud untuk pemilikan saham tanpa melibatkan galang ganti hak rakyat Negeri Kedah.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA percaya kepada kebijaksanaan YAB Presiden dalam membuat keputusan yang diumumkan baru-baru ini, pasti selepas mempertimbangkan semua aspek teknikal dan perundangan, cadangan pelaburan syarikat tersebut tidak dapat dipersetujui kerana melibatkan aset utama rakyat Negeri Kedah.

Oleh itu, memberi keutamaan hak rakyat dan melihat keuntungan jangka panjang kepada rakyat Negeri Kedah berbanding pulangan pelaburan jangka pendek kepada KDA FC adalah keputusan yang cukup jelas dan berhikmah sebagai seorang ketua pentadbiran negeri Kedah.

Justeru, KFA menyokong penuh jika di masa hadapan, rundingan pengambil alihan saham KDA FC diteruskan kepada mana-mana pihak yang berkemampuan untuk mengurus operasi KDA FC tanpa meletakkan tawaran berserta syarat diluar bidang kuasa syarikat pengurusan sebagai galang ganti untuk menjalankan pelaburan.

Kami percaya banyak lagi model pelaburan yang lebih menguntungkan kedua-dua pihak jika sesuatu pelaburan itu bersandarkan kepada industri bolasepak dan melihat kelestarian sesuatu pelaburan ditempat yang sepatutnya.

Kami mendoakan semoga YAB Presiden KFA terus menerajui dan menguruskan pentadbiran negeri dan KFA dengan bijaksana dalam memastikan kepentingan semua pihak dalam negeri Kedah diberi keutamaan.

Sekian, terima kasih.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com