SINTOK, 12 Julai – Seramai 1,637 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang tamat sesi akademik 2020/2021 akan pulang ke rumah masing-masing mulai 13 Julai 2021 dengan kawalan pergerakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan adalah terkawal.
Kebenaran ini adalah selaras dengan kenyataan media oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 9 Julai lalu setelah mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang telah tamat sesi akademik pulang ke rumah masing-masing mulai hari ini.
Bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pergerakan pelajar di dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan setelah tempoh PKPD tersebut tamat.
Kaedah pergerakan sehala pelajar adalah menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan IPT dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan penggunaan kenderaan sendiri turut dibenarkan.
Bagi pergerakan menggunakan pengangkutan bas, seramai 1,170 pelajar UUM akan pulang bermula 15 Julai melibatkan lapan (8) bas ke Kelantan, Terengganu dan Pahang; diikuti lima (5) bas ke Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya (16 Julai); lapan (8) bas ke Selangor dan Perak (17 Julai) serta tujuh (7) bas ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis pada 18 Julai.
Sementara itu, 379 pelajar lagi akan pulang dengan menaiki kenderaan sendiri bermula 13 Julai ini, manakala 88 pelajar akan pulang ke Sabah dan Sarawak bergantung pada tarikh penerbangan.
Pelajar yang ingin kembali ke kampus untuk tujuan mengambil barang peribadi masih tidak dibenarkan lagi berbuat demikian sehingga mendapat kebenaran oleh MKN dan KPT yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pelajar diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair basmi kuman. Selain itu, amalkan 3W (Wash, Wear, Warn) dan elakkan 3C (Crowded Places, Confined, Closed Conversation).
UUM CORPORATE COMMUNICATION
12 Julai 2021