Thursday, 21, November, 2024
Utama Umum Sikap ambil peduli elak sindrom bunuh diri

Sikap ambil peduli elak sindrom bunuh diri

oleh Ammar Haziq
Prof. Dr. Noor Azniza Ishak

UUM ONLINE: Apabila manusia hanya memfokuskan pada diri sendiri dan tidak bergaul dengan orang lain, tidak menyatakan masalah, tidak sabar dalam menguruskan hubungan dengan orang lain maka mereka akan merasa terasing.

Profesor, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Noor Azniza Ishak berkata, akibatnya mereka cuba menyelesaikan masalah dengan melarikan diri dari masalah.

“Mereka akan rasa terasing, terpinggir, tidak diperlukan, cuba mewujudkan rasa kecewa, rasa bersalah, rasa tidak tenteram serta rasa tidak membebankan dalam diri orang lain, maka mereka memilih jalan singkat iaitu “berhijrah ke dunia lain”.

“Sebenarnya, banyak faktor yang boleh menyebabkan keadaan ini, namun semua faktor ini bergantung kepada diri individu yang mengambil keputusan untuk membunuh diri,” ujarnya.

Menurutnya, manusia hidup perlukan sokongan dalam semua situasi baik atau buruk. Sokongan dan pengurusan perhubungan yang bijaksana akan membantu diri untuk terus kuat hadapi masalah dan sentiasa yakin bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi masalah.

“Antara faktor diri juga iaitu peniruan yang sering berlaku dalam kelompok yang berkaitan. Sebagai contoh terlalu banyak menonton aksi bunuh diri atau mengandaikan bunuh diri akan memdapat simpati dari orang lain atau sebagai pengorbanan.

“Ada beberapa fasa yang terkait dengan membunuh diri iaitu idea untuk membunuh diri, cubaan membunuh diri dan melaksanakan bunuh diri.

“Fasa-fasa ini boleh dizahirkan melalui berbagai cara iaitu secara perkataan (‘verbal’) dan tindakan (‘non-verbal’). Maka setiap orang yang rapat perlu alert dengan fasa-fasa ini dan menganggap semua ini adalah serius dan bukan gurauan,” ujarnya.

Jelasnya, faktor diri yang menyebabkan rasa ingin membunuh diri boleh dilihat apabila harapan tidak kesampaian, desakan hidup, desakan mental yang serius, keluar dari rutin harian, hilang segala yang ada, survival hidup, egosentrik, maruah diri dan banyak lagi.

“Namun semua ini dapat dibantu jika ada pengurusan perhubungan yang baik bagi individu tersebut. Hubungan dengan diri sendiri perlu diuruskan dengan tidak terlalu fokus kepada emosi dan perasaan sebaliknya fokus kepada pemikiran yang waras dan peluang yang sentiasa ada untuk penyelesaian.

“Pengurusan hubungan dengan tuhan juga membantu untuk monolog dan muhasabah diri agar semua masalah dapat disalurkan dengan baik, tenang serta membina sandaran yang yakin dan kukuh.
“Pengurusan hubungan dengan kumpulan sokongan seperti pasangan, keluarga terdekat, jiran, kawan baik, majikan, rakan sekerja dan kaunselor dapat membantu memberi jalan keluar kepada kemelut yang melanda,” terangnya.

Profesor psikologi ini turut menyarankan agar fahami diri, masalah serta dapatkan bantuan supaya tidak terus hanyut dengan masalah yang membelenggu diri sekurang-kurangnya ada bahu yang boleh disandarkan.

“Mantapkan pengurusan hubungan yang berkesan iaitu hubungan diri, hubungan dengan tuhan, hubungan dengan pasangan, keluarga, jiran dan persekitaran agar wujud keharmonian, kemesraaan dan kerjasama erat terutamanya saat yang tidak diduga.

“Langkah pencegahan lain ialah dengan mengurangkan ransangan untuk peniruan seperti video bunuh diri, mempamerkan keparahan masyarakat, cara-cara pelaksanaan, mempamerkan kebanggaan hasil dari bunuh diri.

“Jika diketahui seseorang yang cenderung untuk membunuh diri, ambil serius segala aduan, idea, cubaan atau cadangan untuk membunuh diri yang mungkin boleh menyelamatkan nyawanya,” kongsinya.

Malah katanya, setiap ahli dalam komuniti perlu bersedia untuk membantu orang lain dengan kemahiran menolong dan kemahiran komunikasi yang ada.

“Kawal diri dalam menguruskan media sosial yang bermanfaat serta stabil supaya tidak menimbulkan panik, kacau bilau atau kepincangan dalam masyarakat. Uruskan emosi dan kesihatan mental anda, keluarga dan masyarakat di samping menyediakan mentor, talian dan seumpamanya untuk rujukan jika perlu.

Dalam soal mendidik masyarakat beliau berkata, masyarakat boleh dibantu dengan membudayakan sikap “ambil peduli” dalam masyarakat dan mengurangkan sikap individualistik bagi semua pihak selain mengurangkan budaya ambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain.

Tambahnya, budaya peniruan kepada perkara yang baik dan berfaedah boleh diperluaskan dalam masyarakat tetapi bukan menyebarkan aksi, tingkah laku, “keseronokan” mengambil nyawa sendiri yang boleh mencetuskan rasa ingin tiru oleh orang lain.

“Jangan sebarkan perkara negatif kerana perbuatan membunuh diri bukan perkara main-main. Ahli keluarga dan masyarakat juga perlu menjadi pendengar yang berkualiti kepada ahli keluarga atau ahli masyarakat yang lain agar semua orang boleh dibantu.

“Semua orang dalam masyarakat berperanan membantu sesama sendiri terutama dalam situasi yang mencabar serta desakan hidup yang semakin perit sekarang.

Tak perlu malu untuk minta tolong dan bersedia untuk menolong. Semua orang dalam masyarakat adalah “keluarga” kita.

Sebagai kesimpulan beliau menegaskan sebagai ahli dalam masyarakat, kita perlu menguruskan hubungan diri kita dengan baik, hubungan diri dengan tuhan, hubungan diri dengan pasangan, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

“Semua orang berhak hidup bahagia dan sejahtera. Elakkan peniruan yang mengundang kepada masalah dalam masyarakat. Jangan jadikan pelarian dari masalah dan bunuh diri sebagai budaya,” rumusnya menutup bicara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com