SUNGAI PETANI, 7 Ogos – Selepas tiga hari menanggung kesakitan, pengawal keselamatan yang ditetak menggunakan pedang hanya kerana menegur tindakan seorang individu menunggang motosikal secara merbahaya Khamis lalu, akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
Mangsa, Ismail Ahmad, 58, disahkan meninggal dunia ketika masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), dekat sini kira-kira pukul 6.15 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kematian mangsa dengan pihaknya kini menanti laporan bedah siasat dari pihak hospital.
Dalam kejadian petang Khamis lalu, mangsa yang sedang bertugas di sebuah tapak projek perumahan di Siera 4, Bukit Bayan di sini, pada awalnya dikatakan menegur seorang lelaki yang memandu motosikal secara berbahaya di tempat dia bekerja.
Individu yang ditegurnya itu bagaimanapun didakwa tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa, lalu bertindak memukul dan menetaknya dengan pedang.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pagi tadi, seorang lelaki mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan mangsa dengan pedang.
Tertuduh, R. Subramaniam, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Roslan Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail dengan menggunakan sebilah pedang di kawasan pos pengawal tapak projek tersebut kira-kira pukul 4 petang.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Mahkamah menetapkkan 29 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan menjatuhkan hukuman sementara menanti laporan perubatan penuh mangsa.