ALOR SETAR-7 SEP-Wanita berusia 23 tahun yang menjadi buruan polis kerana terbabit dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud dikenali sebagai ‘Savingbywanie ‘@ ‘free cash’ berjaya ditahan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, penahanan wanita berkenaan dilakukan kira-kira jam 4 petang dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani untuk direman esok.
Menurutnya, suspek ditahan susulan daripada laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 30 tahun yang mendakwa dia menjadi mangsa penipuan apabila melaburkan modal RM12,000 namun tidak mendapat sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai mendakwa dia pada mulanya tertarik dengan iklan di laman Facebook atas nama “Eypolwaniey” yang mengiklankan mengenai pelaburan atau simpanan dinamakan Savingbywanie awal Jun lalu.
“Wanita itu tanpa berfikir panjang kemudian bersetuju untuk melabur dengan modal sebanyak RM6,000 sebelum dijanjikan akan mendapat keuntungan berganda dalam tempoh dua bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa sekali lagi termakan pujukan suspek apabila dia menambah nilai pelaburan berjumlah RM6,000 dnegan melakukan dua transaksi wang secara dalam talian ke sebuah akaun bank.
“Bagaimanapun, sebaik tiba tarikh dijanjikan mangsa mendapati dia langsung tidak mendapat hasil keuntungan seperti diberitahu suspek malah modal dikeluarkan juga turut lesap.
“Mangsa kemudian membuat laporan pada 19 Ogos lalu selepas menyedari ditipu dan suspek yang menghilangkan diri menjadi buruan polis sebelum berjaya ditahan hari ini,” katanya.
Sebelum itu , dua wanita berusia 30 tahun termasuk seorang daripadanya sarat mengandung ditahan polis 24 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tidak wujud itu.
Siasatan lanjut mendapati sindiket pelaburan tidak wujud itu baru dua bulan beroperasi dan sebanyak 33 laporan polis dibuat mangsa membabitkan nilai kerugian RM1.2 juta. – Kedah Gazette