Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional UUM Bantu Perkasa Pelajar Luar Bandar

UUM Bantu Perkasa Pelajar Luar Bandar

oleh admin
Menteri Pembangunan Luar Bandar (dua dari kiri) bersama Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman (dua dari kanan) bergambar bersama para hadirin dalam selepas merasmikan Program Mekar 2022 di Dewan Muadzam Shah, UUM.

KUBANG PASU 9 Sept., – Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar luar bandar dalam pelbagai aspek terutamanya akademik, Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah hari ini melancarkan program UUM Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar) 2022 yang
dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman, hampir 4,500 pelajar tingkatan empat dan lima di semua daerah dalam Kedah akan dibantu dari sudut akademik, kemahiran insaniah dan pembangunan diri.

Katanya, sebanyak 16 pusat pengajian dan inapan siswa (Inasis) UUM akan dilibatkan bagi membantu kesemua pelajar tersebut yang belajar di 16 sekolah terpilih dalam negeri ini.

“Kita memberi fokus kepada cuti semester iaitu antara Jun hingga September di mana pada waktu itu, kampus UUM ini kosong. Jadi kita akan bawa kalangan pelajar yang terpilih mengikuti program ini ke universiti agar mereka dapat merasai suasana belajar di kampus.

“Tidak terhenti di situ, kami juga menyusun program sepanjang tahun untuk dilaksanakan pensyarah serta pelajar UUM. Di kampus ini, kami memiliki 20,000 pelajar dan mereka akan digerakkan ke sekolah-sekolah terpilih bagi menjalankan program serta aktiviti berkaitan akademik, pembangunan jati diri serta kokurikulum,” katanya.

Terdahulu beliau mengiringi Mahdzir merasmikan program tersebut di Dewan Muadzam Shah, UUM dekat Sintok, hari ini.

Antara sekolah yang pelajarnya terpilih mengikuti program itu adalah SMK Dato’ Wan Mohd Saman, SMK Kubor Panjang, SMK Pedu, SMK Langkawi dan SMK Dulang.

Haim Hilman menambah, pihaknya melalui program itu turut mengumumkan pengambilan 34 kampung di kawasan berhampiran sebagai kampung angkat.

“Kami akan melakukan kaji selidik mengenai sebarang isu yang timbul di kampung tersebut sama ada dari sudut sudut ekonomi mahu pun sosial. Kalangan pensyarah serta pelajar kami akan berusaha memahami isu di kampung-kampung itu dan cuba mencari penyelesaian bersesuaian dengan menjalin kerjasama bersama pihak lain.

“Sebagai contoh jika ada isu berkaitan ekonomi, kami mungkin akan jalinkan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan jika wujud isu sosial pula, kerjasama akan dijalinkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Menurutnya, semua langkah yang diambil melalui Mekar 2022 itu merupakan sebahagian daripada usaha ‘merakyatkan’ UUM.

Dalam pada itu Mahdzir berkata, kementeriannya amat menyokong langkah tersebut dalam usaha memperkasakan pelajar serta masyarakat luar bandar.

“Saya fikir kolaborasi ini cukup baik kerana melibatkan hubungan antara universiti serta masyarakat umum,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com