Thursday, 16, May, 2024
Utama Nasional ‘Spanco merugikan negara’

‘Spanco merugikan negara’

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kontrak perolehan bagi membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan yang dikendalikan Spanco Sdn Bhd (Spanco) adalah merugikan negara.

Jelasnya, kenyataan itu bukanlah suatu yang baharu kerana ia pernah disuarakan beliau sewaktu menjadi Menteri Kewangan suatu ketika sebelum ini.

“Saya tidak tahu di mana salahnya, tetapi saya tahu peraturan itu tidak betul, saya tahu ia merugikan negara,” katanya menerusi ucapan pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Menurutnya, kontrak itu juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan.

“Saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam, tetapi kita lesu, tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak,” kata beliau.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Beberapa saksi penting telah dirakam keterangan.

Ia termasuklah daripada agensi kerajaan serta individu dari syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia lingkungan 70-an itu serta merampas dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan selain membekukan akaun bank yang bernilai jutaan ringgit.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com