BALING 21 Sept. – Ketika kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang di Kampung Iboi yang terjejas teruk dalam kejadian aliran puing sebelum ini rancak dilaksanakan, Parti Warisan (Warisan) Kedah mempersoalkan pula ke mana pasir-pasir yang dibawa keluar daripada sungai tersebut dipindahkan?
Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadhil Hanafi serta Pengerusi Biro Perhubungan Awamnya, Datuk Mustaffa Idrus, kedua-dua individu berkenaan turut mempersoalkan siapa yang mengetuai pengambilan pasir tersebut.
Menurutnya, pasir yang dikorek dari sungai tersebut dibawa oleh arus aliran puing dan banjir lumpur dalam tragedi yang meragut tiga nyawa pada 4 Julai lalu.
“Ke mana lokasi pasir ini dipindahkan dan siapa yang mengetuai pengambilan pasir ini?
“Kita nak tahu ke manakah pasir ini dipindahkan atau dijual,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada semalam.
Terdahulu kedua-dua mereka bersama beberapa lagi ahli jawatankuasa Warisan Kedah berkunjung ke Kampung Iboi bagi melawat kawasan terlibat selain memberi sumbangan kepada kira-kira 30 penduduk di situ.
Sementara itu kedua-dua mereka turut mendakwa, pemilik tanah tidak dibayar sewa meskipun tanah mereka menjadi lokasi timbunan pasir.
“Maka kita mohon supaya pihak berkenaan melihat isu-isu ini supaya penduduk berhak menerima imbalan selepas kawasan tanah mereka menjadi lokasi timbunan pasir yang dikorek dari sungai tersebut,” katanya.