KULIM, 9 OKTOBER – “Ketika itu saya tunduk kerana mahu mengambil barang selepas lelaki berkenaan bertanya mengenai ‘free gift’ (hadiah) namun terkejut apabila dia sudah tiada sebaik berdiri,” kata Hazira Zabudin, 29, menceritakan kejadian seorang lelaki melarikan telefon pintar iPhone 13 di kiosk tempat kerjanya di sebuah kompleks beli belah, di sini Jumaat lalu.
Menurutnya, dia sebelum itu didatangi lelaki berusia 20-an terbabit kira-kira jam 10.30 pagi yang kemudian memberitahu mahu membeli telefon.
“Lelaki terbabit yang juga pelanggan pertama ketika itu turut memberi salam terlebih dahulu kepada saya dan menyatakan hasrat mahu membeli iPhone 13.
“Saya seperti biasa melayan lelaki berkenaan seperti pelanggan lain dan langsung tidak mencurigainya sebelum dia bersetuju untuk membeli iPhone 13 yang berharga hampir RM4,000.
“Sebaik lelaki itu bersetuju membeli, saya membuka kotak telefon pintar berkenaan untuk menunjukkan kepadanya sebelum dia bertanya sama ada pembayaran boleh dilakukan melalui kad debit serta turut meminta ‘free gift’,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia menunduk untuk mencari free gift namun ketika bangun kira-kira 15 saat selepas itu, dia terkejut apabila mendapati lelaki berkenaan dan iPhone 13 yang mahu dibeli sudah tiada.
“Saya cuba mencari lelaki terbabit namun gagal dan saya terus menghubungi polis memaklumkan kejadian.
“Kejadian seumpama ini adalah kali pertama berlaku sepanjang empat tahun bekerja dan ia membuatkan saya trauma serta lebih berhati-hati ketika menjalan urusan menjual beli telefon,” katanya yang berharap lelaki berkenaan dapat ditahan segera.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 30 saat berhubung kejadian itu tular di media sosial sejak kelmarin memaparkan seorang lelaki berpelitup muka, berkaca mata serta berbaju-T kelabu dan berseluar hitam terus melarikan diri sambil membawa iPhone 13 ketika jurujual tunduk mengambil barang.
Difahamkan, lelaki terbabit tidak mengetahui yang wajah serta perbuatannya itu berjaya dirakam CCTV yang tersembunyi dan dipasang pemilik premis di tempat yang agak startegik.
Dia sebelum itu dikatakan sempat melihat sambil mencari CCTV dipasang kompleks beli belah berkenaan yang hanya tertumpu di lokasi tertentu seperti pintu keluar dan masuk.
Lelaki terbabit yang menyangka perbuatan serta wajahnya sukar dirakam CCTV kompleks beli belah itu tidak menyedari ada kamera tersembunyi dipasang pemilik kiosk.