Monday, 25, November, 2024
Utama Negeri Sada sedia pelan kontigensi bekalan air sepanjang Lima’23

Sada sedia pelan kontigensi bekalan air sepanjang Lima’23

oleh Ammar Haziq
Lima’23 akan berlangsung bermula 21 hingga 28 Mei di Langkawi. FOTO UNIFORM’S

ALOR SETAR: Langkawi International Maritime & Aerospace 2023 (LIMA’23) yang akan bermula pada 23 Mei 2023 hingga 27 Mei 2023 ini diunjurkan akan menyumbang sebanyak 25 peratus atau kira-kira 13MLD pertambahan permintaan air terawat di Daerah Langkawi sepanjang temasya itu berlangsung.

Justeru itu, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah bersedia dengan pelan kontingensi selama lapan (8) hari bermula pada hari ini 21 Mei 2023 hingga 28 Mei 2023 sebagai langkah bagi meminimakan risiko berlakunya gangguan bekalan air di daerah tersebut juga sebagai persediaan awal dalam menghadapinya melalui tindakan jangka masa segera dan tindakan jangka masa pendek yang telah digariskan.

Antara kawasan yang diberi perhatian oleh SADA adalah kawasan Pekan Kuah, Pantai Cenang, Pantai Tengah, Datai, Pemandangan Indah, Kampung Kilim, Kampung Huma dan beberapa lagi kawasan lain. Bagi tempoh sebelum pelaksanaan pelan kontingensi ini, SADA telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berterusan secara bersepadu melibatkan aset dan infrastruktur air seperti pemantauan paras kolam, melakukan servis injap kawalan tekanan dan memastikan rumah-rumah pam berada dalam keadaan baik.

Dari aspek logistik dan aset, sebanyak 16 buah lori tangki disediakan bagi mempercepatkan masa tindakan bantuan bekalan air ke kawasan yang terjejas. Selain itu, 91 buah tangki statik telah ditempatkan di kawasan-kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan serta beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sering berlaku masalah tekanan air rendah.

Melalui tindakan jangka masa pendek, beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan oleh SADA antaranya pemasangan inline booster pump Empangan Malut, pemasangan kabel dan menaiktaraf bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Kemoja, menaiktaraf saiz District Meter Zone (DMZ-L06A) daripada saiz 150MM diameter kepada saiz 250MM diameter di Tanjung Gerak, pemasangan suction tank di Rumah Pam Lanai Teluk Baru (3000 Liter), pembaikan paip dasar laut, pemasangan Butterfly Valve pada paip pintasan bersaiz 500MM diameter dari Rumah Pam Penarak ke Tangki Kuah dan Dundung, pemasangan paip pintasan bersaiz 300MM air mentah LRA Padang Saga 3, pemasangan pressure relief valve (PRV) dan timer Tangki Dundung serta aktiviti mengesan kebocoran melalui kaedah Active Leakage Control (ALC). 

Tujuan utama kerja-kerja ini dilakukan adalah bagi memastikan LRA beroperasi pada tahap optimum, menstabilkan serta meningkatkan paras kapasiti tangki, meningkatkan kapasiti air mentah untuk diproses dan melancarkan sistem agihan bekalan air. SADA turut menangguh sebarang kerja-kerja penyelenggaraan yang boleh mengganggu pengoperasian LRA.

Sekiranya berlaku gangguan bekalan air, para pengguna boleh menghubungi Pusat Informasi SADA (SIC) melalui talian hotline 1300-88-0017 yang beroperasi  bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 malam setiap hari. Bagi mengurangkan kesesakan panggilan di talian hotline, SADA juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan Wilayah Langkawi bermula pada hari ini 21 Mei 2023 hingga 28 Mei 2023 yang beroperasi pada jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam di talian 04-9610546.

SADA menasihatkan para pengguna agar menggunakan air secara berhemah dan mengamalkan langkah-langkah penjimatan air dalam rutian harian selain melakukan persediaan bekalan air simpanan dalam tempoh 24 jam sekiranya berlaku gangguan bekalan air disebabkan perkara di luar jangka.

Sebagai syarikat operator air negeri, SADA sentiasa komited dan prihatin dalam usaha membekalkan bekalan air terawat yang berterusan kepada pengguna.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my. Para pengguna juga boleh mendapatkan informasi semasa mengenai pelan kontingensi ini di platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com