ALOR SETAR – Tiada sebarang senarai ranking sekolah terbaik di negara ini dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata,
ranking yang tular menerusi media sosial sejak semalam sehingga menjadi tanda tanya terutamanya ibu bapa adalah di luar pengetahuan pihak kementerian.
Menurutnya, setiap keputusan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) itu juga bukan dipertandingkan sebaliknya sebagai membantu sokongan ke arah peningkatan sekolah itu pada masa hadapan.
“Dari sudut Kementerian Pendidikan itu bukan satu petunjuk prestasi utama (KPI) sebab kita tak pernah sebut tentang ranking ini. Kementerian tidak pernah mengeluarkan ranking tersebut.
“Siapa yang buat ranking itu pun di luar pengetahuan kita (Kementerian Pendidikan). Sebenarnya tidak ada apa-apa secara rasmi tentang ranking tersebut. Apa yang diunjurkan melalui GPS sekolah itu adalah untuk sekolah itu sendiri di peringkat daerah dan negeri itu sendiri.
“la bukan untuk dipertandingkan kerana ia adalah untuk melihat usaha yang akan dilaksanakan pada tahun mendatang. Jadi tidak timbul soal ranking dan kita tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mahupun pengesahan tentang ranking tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Jerayawara Pendidikan Madani Pendidikan Peringkat Negeri Kedah pada Sabtu.
Semalam tular di media social senarai ranking sekolah terbaik SPM 2022 ekoran pengumuman keputusan peperiksaan awam itu sejak kelmarin berdasarkan GPS sekolah- sekolah di seluruh negara.
Fadhlina menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa agar tidak terpengaruh dengan ranking berkenaan yang disifatkan boleh berubah pada masa akan datang.
“Saya fikir kita tumpukan pada (prestasi) anak-anak kita. Jangan terpengaruh dengan ranking kerana ranking ini akan berubah.
“Kita lihat kemajuan anak-anak kita sendiri melalui pendekatan pengkuhuhan eko sistem penglibatan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru PIBG),PIBKS Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) untuk anak-anak cemerlang,” ujar beliau lagi.