Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Peruntukan Tambahan RM30 Juta Untuk Baikpulih SJKT, Urusan Lain

Peruntukan Tambahan RM30 Juta Untuk Baikpulih SJKT, Urusan Lain

oleh admin

SHAH ALAM:Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi membiayai kerja baik pulih kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta urusan lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah itu sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada Sekolah Tamil di bawah kerajaan.

Manakala katanya, baki RM10 juta untuk membantu hal berkaitan perolehan tanah untuk pembinaan SJKT serta urusan berkaitan SJKT yang masih belum selesai.

Justeru, beliau mengarahkan menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan supaya segera memulakan projek untuk membaiki dan menyelenggara kemudahan asas di sekolah yang terbabit.

Beliau berkata, keadaan bumbung dan tandas menjadi antara keutamaan untuk dibaiki dan diselenggara pada tahun ini.

“Bagi saya, isu pendidikan adalah isu besar dan sebab itulah kita letakkan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dalam kalangan orang muda serta dinamik untuk angkat mutu pendidikan kita.

“Jadi, dalam Belanjawan 2023, kita tambah peruntukan untuk Kementerian Pendidikan (KPM). Kita tambah satu lagi kategori penyelenggaraan baik pulih sekolah merangkumi SJKT, Sekolah Kebangsaan (SK).

“Dulu, masa saya di Port Dickson (sebagai Ahli Parlimen), ada tandas di situ tak terurus, ada sekolah semua enam tandas rosak. Justeru, bagaimana nasib anak kita (di sekolah)? Kena fikir, ini adalah anak kita.

“Sebab itu saya kata sudah lulus (peruntukan) dan dalam setiap mesyuarat Kabinet, saya tanya sudah berjalan belum (projek) kerana (peruntukan) duit sudah dapat dilaksanakan.

“Ini termasuk majoriti di Sekolah Tamil. (Ketika di pejabat), saya cari hampir setiap daerah yang ada Sekolah Tamil, perlu dibaik pulih dan saya mula dengan tandas serta bumbung. Nak baik pulih semua cecah berbilion ringgit. Hal ini perlu diberikan tumpuan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, petang tadi.

Di majlis itu juga Perdana Menteri mengarahkan guru besar sekolah memainkan peranan proaktif dengan turut sama ‘mengesan’ murid miskin.

Beliau berkata, penyelesaian perlu dicari bagi menangani isu yang dihadapi murid terbabit.

“Kalau ada guru besar, tengok murid ini masuk kategori ini (miskin) tak dapat (sumbangan tunai Rahmah), kena cari mekanisme.

“Tidak boleh kata senarai kita sudah sempurna kerana kadang-kadang tertinggal. Jadi guru besar kena tengok anak miskin (di sekolah).

“Mungkin anak itu, dia bukan miskin tegar, mungkin dia tak makan, berpakaian compang-camping. Hal ini kita kena selesaikan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com