Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional KPM teliti isu 14,858 calon tidak hadir SPM 2022

KPM teliti isu 14,858 calon tidak hadir SPM 2022

oleh Ammar Haziq
Fadhlina pada lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah, pada hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan meneliti mengenai isu ketidakhadiran 14,858 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi menduduki peperiksaan itu.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti data ketidakhadiran calon sebanyak 3.8 peratus daripada 388,832 calon itu di seluruh negara sekaligus mencari mekanisme sewajarnya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“KPM sedang meneliti faktor-faktor ini supaya kita dapat kenal pasti dan membuat intervensi yang sewajarnya untuk memastikan kehadiran itu lebih baik pada tahun-tahun akan datang.

“Saya fikir banyak faktor dan ia pastilah faktor yang begitu mendesak sehingga dia (calon SPM) tidak dapat hadir untuk mengambil peperiksaan tersebu. Jadi, ia perlukan penelitian,” katanya pada hari ini.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah, dekat sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew dan ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Fadhlina berkata, kementeriannya diharapkan dapat diberikan masa bagi meneliti perkara ini sekaligus membuat intervensi sewajarnya bagi menyelesaikan isu ketidakhadiran calon SPM ini.

“Calon kita ni pelbagai, ada calon bukan sahaja di bawah sekolah KPM, ada juga calon-calon persendirian dan sebagainya. Jadi, kita perlukan pecahan yang lebih teliti untuk pastikan kenapa ia berlaku,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah calon layak dapat sijil didapati meningkat apabila mencapai lebih 90 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam ma­ta pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada ke­seluruhan 392,837 calon berdaftar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com