ALOR SETAR – Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi bahawa tidak sepatutnya jentera kerajaan dieksploitasi dalam kempen Pilihan Raya, sepatutnya diangkat dan disambut dengan tangan yang terbuka.
Namun, ironinya, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebaliknya menempelak pelawaan Menteri Besar itu untuk bertanding secara anak jantan.
Ketua Penerangan PAS Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, Mahdzir selayaknya merasai kebimbangan kerana sudah menjadi kebiasaan di pihak sebelah sana menggunakan jentera Kerajaan untuk berkempen meskipun selepas pembubaran DUN mahupun di peringkat Parlimen.
“Inilah yang dirasai parti-parti pembangkang khususnya PAS yang melalui situasi ‘padang tidak sama rata’ dalam tempoh-tempoh berkempen.
“Pelbagai institusi , media dan agensi Kerajaan termasuklah premis sekolah disalahgunakan sehinggakan tiada garis sempadan yang jelas di antara sebuah parti yang sedang berkempen dengan agensi milik Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, apakah pelawaan Menteri Besar untuk bertanding secara anak jantan pun begitu menggusarkan gabungan PHBN di Kedah atau gabungan itu sudah “mati langkah” jika pilihanraya dilaksanakan secara adil dan seimbang.
“Usah ditunjukkan sangat kegentaran pihak gabungan PHBN menghadapi PRN ini kerana rakyat Negeri Kedah dan anak muda telah membuat pilihan yang jelas sebelum memangkah di atas kertas undi.” kata ADUN Sungai Limau tersebut.
PH-BN Kedah mati langkah awal – Pas Kedah
515