Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Program Karnival Mahabbah Rasulullah SAW meriah

Program Karnival Mahabbah Rasulullah SAW meriah

oleh Ammar Haziq

Gambar kecil : Khosim Ismail (atas kiri), Mohammad Zulhilmy (bawah kiri), Jasalina (atas kanan), Nurul Izzati (bawah kanan).

JERLUN – Program Karnival Mahabbah Rasulullah SAW anjuran Surau Nurul Saadah, Kampung Bohor Karang, dekat sini berlangsung dengan meriah apabila melibatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur pada Sabtu.


Pengerusi surau tersebut, Khosim Ismail, 67 berkata, program yang diadakan sejak tahun 2019 itu semakin mendapat sambutan daripada penduduk setempat malah ramai yang menyumbang bagi menjayakan aktiviti yang dianjurkan pihaknya.


Jelasnya, penganjuran Karnival Mahabbah yang diadakan seumpama itu bermatlamat untuk mendekatkan masyarakat dalam mengimarahkan surau melalui aktiviti dari semasa ke semasa. 


“Perkembangan di surau ini sangat baik. Semua menjayakan program jadi senang kita buat jadi individu, kewangan juga tidak ada masalah sebab semua orang kampung kita beritahu sahaja mereka bantu, macam hari ni duit orang bagi. 


“Program ini antara yang terbesar diadakan di sini dan selepas ini kita akan panggil ustaz yang mempunyai nama besar seperti Ustaz Wadi Anuar dan Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad akan datang,” katanya semasa ditemui Kedah Gazette pada Sabtu.


Sementara itu, Guru Pasti Nurul Saadah, Jasalina Md Isa, 49 berkata, penglibatan anak Pasti dalam program ini juga baik untuk mendekatkan mereka dalam mengenali Rasullulah SAW. 


Menurutnya, antara aktiviti yang disediakan adalah memanah, persembahan acara nasyid, bercerita, sajak, hafazan surah dan azan.


“Pelajar yang terlibat adalah 69 orang membabitkan pelajar pasti dan pelajar luar dan matlamatnya untuk mendekatkan pelajar untuk mengenal Nabi Muhamad SAW,” ujar beliau.


Bagi penduduk setempat pula, Mohammad Zulhilmy Mohd Yunus, 35 berkata, beliau mencadangkan agar program seumpama itu boleh diadakan lagi dengan lebih besar dan meriah untuk sambutan penduduk di kawasan tersebut.


“Program ini bagus untuk pendedahan anak-anak Pasti bagi peringkat seterusnya,  bermakna mengimarahkan kariah-kariah dan Pasti – Pasti yang ada dalam kawasan ini,” katanya.


Perkara sama turut dipersetujui oleh seorang penduduk, Nurul Izzati Abdul Aziz, 31 yang mengharapkan agar pihak surau dapat mempelbagaikan lagi program agar dapat melibatkan penyertaan penduduk bagi mengeratkan hubungan di antara satu sama lain.


“Bagi saya program ini sangat bagus kerana dapat mendedahkan pelajar dengan aktiviti luar dan mereka mampu menjadi orang yang berani dan mempunyai keyakinan diri,” Jelas Nurul Izzati.


Perasmian penutup karnival mahabbah Rasulullah SAW ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.

YouTube player

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com