Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Peluang pekerjaan besar dibawa hasil kerjasama Elon Musk

Peluang pekerjaan besar dibawa hasil kerjasama Elon Musk

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggarkan puluhan ribu peluang pekerjaan mahir bakal diwujudkan menerusi kerjasama dengan jutawan dan usahawan teknologi dari Amerika Syarikat (AS), Elon Musk.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX yang juga CEO Tesla Inc itu, antara lain bakal merancakkan lagi sektor kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Beliau berkata ia susulan persetujuan diberikan Musk untuk melabur secara besar-besaran di Malaysia termasuk membuka ibu pejabat Tesla Inc di Cyberjaya.

Anwar berkata perkara itu dimaklumkan Musk kepadanya dalam persidangan video hari ini yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

“Beliau juga bersetuju menjalin kerjasama dengan kerajaan melibatkan syarikat SpaceX (miliknya) dalam perkhidmatan satelit Starlink serta kenderaan elektrik (EV).

“Malah tiga syarikat Malaysia akan terlibat dalam projek bersama SpaceX… Elon dalam pertemuan tadi menyatakan akan adakan kunjungan ke negara ini dalam masa terdekat,” kata beliau ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak di sini hari ini.

Anwar berkata pertemuan dengan Musk adalah satu perkembangan yang cukup baik kepada negara terutama dalam bidang EV.

“Selain itu, tentang (perkhidmatan satelit) Starlink, ia melibatkan akses kepada internet, ketersalinghubungan, kita bersetuju (kerjasama ini) akan memberi ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah-sekolah dan universiti untuk mendapatkan direct internet yang murah.

“Malah Elon nyatakan dalam hal ini (Starlink) walaupun 40 (satelit) disediakan awal tapi beliau beri pengakuan sebentar tadi untuk keutamaan diberikan kepada Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Pertemuan maya Anwar yang turut disertai Tengku Zafrul dan Fahmi bersama Musk hari ini yang bermula jam 9.30 pagi berlangsung selama kira-kira 25 minit.

Jumaat lepas, Anwar memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Musk minggu ini bagi meneroka cara untuk syarikat kenderaan elektrik utama itu menambah pelaburan di Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com